Pelaksanaan program Mini-Ulul Albab di MRSM Balik Pulau adalah wajib bagi semua pelajar. MARA telah menetapkan satu silibus khas untuk hafazan Al-Quran kepada pelajar-pelajar MRSM. Setiap Hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 7.40 - 8.00 pagi, para pelajar akan disemak hafazan mereka oleh Guru-guru Homeroom dan ditandakan hafazan mereka dalam kad tasmik berbentuk kertas.
Penggunaan kad tasmik ada sedikit masalah iaitu, ia sukar dibawa ke mana-mana dan menelan kos yang tinggi untuk cetakan kad hafazan yang berkualiti. Oleh sebab itu, team KIK MRSM Balik Pulau telah tampil dengan idea mencipta rekod hafazan secara dalam talian yang boleh diakses di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. Selain itu, idea bagi rekod hafazan dalam talian ini akan memudahkan guru dan pihak pengurusan maktab untuk melihat data-data rekod hafazan secara umum mahupun khusus.
Disebabkan kekurangan kepakaran dalam bidang pengaturcaraan, kami mendapatkan kepakaran daripada pihak Politeknik Balik Pulau untuk mencipta rekod hafazan ini. Pihak politeknik berbesar hati untuk menyumbangkan kepakaran mereka sebagai salah satu sumbangan kepada masyarakat di daerah Balik Pulau khususnya.
Kerjasama yang dimeterai ini telah dibentuk dan sekumpulan pelajar tahun akhir politeknik tersebut telah dipilih untuk merealisasikan projek ini.Pihak MRSM Balik Pulau menyumbangkan idea bagaimana bentuk kad hafazan dalam talian ini manakala pihak politeknik menghasilkannya. Setelah kira-kira tiga bulan kerjasama ini dijalankan, akhirnya produk inovasi ini siap sepenuhnya dan sedia digunakan.
Sesungguhnya, kerjasama inovasi ini dapat menyumbang kepada manfaat yang besar dalam pelaksanaan program Mini Ulul Albab di MRSM Balik Pulau.Ia juga dapat menjadikan program ini lebih sistematik dan efektif. Terima kasih pihak Politeknik Balik Pulau atas kesudian bekerjasama.
Comments
Post a Comment